Accessibility Tools

Skip to main content

𝗔𝗠𝗔𝗡𝗔𝗧 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡 𝗕𝗔𝗛𝗔𝗥𝗨 𝟮𝟬𝟮𝟲 𝗣𝗘𝗝𝗔𝗕𝗔𝗧 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗝𝗔𝗝𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗚𝗨𝗔 𝗠𝗨𝗦𝗔𝗡𝗚 𝗠𝗘𝗠𝗣𝗘𝗥𝗞𝗨𝗞𝗨𝗛 𝗣𝗘𝗡𝗬𝗔𝗠𝗣𝗔𝗜𝗔𝗡, 𝗠𝗘𝗠𝗣𝗘𝗥𝗞𝗔𝗦𝗔 𝗞𝗘𝗦𝗘𝗝𝗔𝗛𝗧𝗘𝗥𝗔𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗞𝗬𝗔𝗧

Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 merupakan wadah penting dalam memperteguh komitmen seluruh warga pentadbiran Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang (PTJGM) bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan berimpak tinggi sentiasa diberikan kepada rakyat.

 

Dalam ucapan pada majlis tersebut, Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd. Roshdi Ismail memetik amanat YAB Menteri Besar Kelantan dalam Majlis Amanat YAB Menteri Besar Kelantan yang berlangsung pada 18 Rejab 1447H bersamaan 8 Januari 2026, bahawa tahun 2026 telah ditetapkan sebagai tahun penentuan bagi menilai sejauh mana keberkesanan sistem penyampaian kerajaan sampai kepada rakyat.
Sehubungan itu, YAB Menteri Besar menegaskan supaya setiap jabatan kerajaan sentiasa mematuhi perkara-perkara penting dalam pelaksanaan projek kerajaan, termasuk pematuhan skop kerja, penjimatan kos serta pemegangan teguh terhadap garis masa pelaksanaan projek.
Setiap projek kerajaan hendaklah dilaksanakan berlandaskan pengukuhan prinsip value for money, pencegahan ketirisan, pemantauan prestasi secara berterusan, serta pendigitalan perkhidmatan, termasuk pelaksanaan Sistem e-Tanah pada tahun 2026.
Beliau turut memetik amanat Tengku Kaya Perkasa Setiausaha Kerajaan Kelantan dalam majlis yang sama, yang menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan mutu perkhidmatan awam negeri Kelantan melalui pendekatan berfokuskan hasil, cekap dan responsif, menerusi pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), pengukuhan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), serta peningkatan produktiviti dalam pentadbiran.
Peranan ini dapat diperkasakan melalui pemanfaatan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) sebagai pemacu transformasi pentadbiran negeri, termasuk pelaksanaan Kelantan Smart AI Assistance dan pembangunan Kelantan Integrated Smart Data Hub bagi menyokong keperluan pembuatan keputusan yang tepat berasaskan data.
Ketua Jajahan Gua Musang turut membentangkan pencapaian kutipan hasil tahun 2025 yang mencatat jumlah sebanyak RM53.09 juta, bersamaan 86.87% daripada anggaran hasil tahunan. Pencapaian ini didorong oleh beberapa komponen yang menunjukkan prestasi cemerlang, antaranya Balasan Pindah Milik Tanah dan Royalti Batu Batan. Walau bagaimanapun, tumpuan berterusan akan diberikan bagi meningkatkan kutipan cukai tanah semasa serta menghapuskan tunggakan.
Dalam aspek pembangunan dan kesejahteraan rakyat, pelbagai projek berimpak tinggi telah dilaksanakan, termasuk 57 projek penyelenggaraan jalan kampung, pembangunan Rekreasi Hutan Dalam Bandar Bukit Chupak, pembinaan dan baik pulih rumah asnaf, serta penyelarasan bantuan kepada golongan berkeperluan melalui sistem e-Kasih.
Usaha memperkukuh tadbir urus turut dipertingkatkan melalui pendigitalan pentadbiran, dengan peningkatan penggunaan Sistem MYPTJ kepada 94%, pencapaian lima bintang KPI HRMIS, serta pematuhan sepenuhnya terhadap pemantauan laman web jabatan.
Tahun 2026 menuntut seluruh warga kerja untuk terus memberi tumpuan kepada penyampaian berasaskan hasil, pelaksanaan reformasi birokrasi, peningkatan produktiviti, serta pemanfaatan teknologi dan kecerdasan buatan sebagai pemacu transformasi pentadbiran negeri.
Sesungguhnya, tahun penentuan ini menuntut iltizam, disiplin dan komitmen yang tinggi bagi memastikan setiap dasar dan pelaksanaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.
  • Hits: 12
Kebebasan Maklumat

Arkib Elektronik
KELGOV PPST

https://ptjgm.kelantan.gov.my/index.php/ms/profail/dasar-privasi