Karnival Sains Dan Teknologi Negeri Kelantan 2.0
- Super User
- Berita Semasa
- Hits: 3127
UTC Kelantan, Kota Bharu
Kerajaan Negeri Kelantan telah menganjurkan Karnival Sains dan Teknologi Kelantan 2.0 pada 21 – 23 Rabiulawal 1440H bersamaan 29 November 2018 hingga 1 Disember 2018 bertempat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan, Kota Bharu. Program yang dianjurkan sempena Program Pembangunan Sains dan Teknologi (PPST) ini telah diurus setia oleh Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd.
Karnival Sains dan Teknologi Kelantan 2.0 yang dirasmikan oleh YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli bin Dato' Haji Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan yang mewakilli Yang Amat Berhormat Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kelantan ini merupakan acara kemuncak di bawah Program Pembangunan Sains dan Teknologi (PPST) Negeri Kelantan. Antara lain tujuan karnival ini diadakan ialah bagi meningkatkan kesedaran dan minat semua golongan masyarakat terhadap sains dan teknologi terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Sebanyak 38 agensi kerajaan dan swasta telah menyertai acara pameran untuk karnival pada kali ini di mana sejumlah 14 penyertaan ialah pameran bagi pertandingan inovasi dari agensi kerajaan, Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA) dan sekolah.
Sepanjang karnival berlangsung antara pengisian yang telah dilaksanakan ialah penganjuran Seminar Rahsia Penggunaan Air Dalam Rawatan Islam Menurut Perspektif Sains (oleh Ustaz Zaki bin Ya, Pengarah Darussyifa’ Negeri Kelantan), Kuiz Sains Di Radio RTM dan Manis FM, Pertandingan Mewarna dan Melukis, Cabaran Hotwheels, Slot Usahawan : Zero Cost Marketing, Dikir Barat (Infraquest), Pertandingan Penyampai Berita, Pertandingan Inovasi, Magnet Usahawan (Amin Idris), Animasi 3D : Didi & Friends, STEM Awareness Talk, Produk Inovasi Komuniti/ Pameran Robotics Challenge 2018, Pameran & Aktiviti Interaktif Sains (STEM) dan Pertandingan E-Sport (Dota 2).
Manakala bagi acara pameran/jualan ianya disertai oleh STEM Academy Malaysia, Planetarium Negara, JKE, USM, Ennova Sdn. Bhd., SIRIM Berhad ( Caw. Terengganu ),Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELE), Permodalan Kelantan Berhad (Ar-Rahn), UMK, SKMM, Jabatan Kimia Malaysia ( Caw. Kelantan ), Ennova Sdn. Bhd., TM Kota Bharu, MAIK, JAHEAIK, Celcom Axiata Berhad dan Politeknik Jeli.
Program ini diharap dapat memberi kesedaran kepada pelajar sekolah, pelajar IPTS/IPTA, anak-anak muda dan belia terhadap kemajuan sains, teknologi dan ICT yang berkembang begitu pantas dan sewajarnya diambil manfaat dan faedah yang besar melaluinya.