Sambutan Hari Malaysia Tahun 2018

Lebih dari 2,000 peserta daripada 69 kontinjen menyertai perbarisan sempena sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri Kelantan yang disambut di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.

Perarakan tersebut, yang bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian, dirasmikan oleh YM Dato' Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Fiessal.

Hadir sama Timbalan Mufti Kelantan Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad dan Panglima Briged Kelapan Infantri Brig Jen Muhammad Huzaimi Sabri serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

 

Pada majlis berkenaan, Brig Jeneral Muhammad Huzaimi turut menyerahkan bendera Malaysia kepada YM Dato' Tengku Kaya Perkasa sebagai simbolik majlis perasmian.

Majlis turut diserikan dengan perarakan bendera Malaysia dan Kelantan serta bendera warna-warni daripada kontinjen yang mengambil bahagian yang diketuai oleh Mej Mohd Faizal Azizan daripada 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Selain itu, persembahan tamborin daripada gabungan anggota 16 RAMD dan 5 Rejimen Renjer Diraja (RRD) diketuai oleh Pegawai Waran II Khairul Anuar Osman dan persembahan dikir barat berbahasa Arab oleh kumpulan Soutul Balad, Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Bharu, Tumpat turut mencuit hati hadirin yang hadir.

  • myGOV
  • Kerajaan Negeri Kelantan
  • Jabatan Perkhidmatan Awam
  • MAMPU
  • MSC Malaysia
  • mySMS 15888